Sunday, May 28, 2017

Pecah Koloni #2

TEKNIK PECAH KOLONI - PRO & KONTRA

Apa itu pecah koloni

Pecah koloni adalah satu teknik menggandakan koloni kelulut dengan cara memecahkan koloni tersebut menjadi dua. Secara konsepnya teknik ini membolehkan kita mendapatkan lebih banyak koloni tanpa perlu menebang pokok dan tanpa perlu membeli log yang mahal. Idea pecah koloni ini juga kadang-kadang diberikan slot khas dalam kursus penternakan kelulut untuk penternak baru.

Perkara wajib pecah koloni

Bagi mereka yang berminat dengan teknik ini hendaklah mengetahui perkara paling WAJIB ada dalam teknik pecah koloni iaitu kewujudan RATU dan calon TELUR RATU. Setelah memastikan dengan jelas kewujudan ratu dan calon telur ratu maka perkara kedua ialah memastikan koloni tersebut adalah koloni yang super kuat!!..fahamkan 2 perkara ini betul-betul terutama sekali kepada mereka yang ghairah untuk mencuba.

Ada pendapat mengatakan hanya koloni kuat yang mengandungi 30 lapisan telur boleh dilakukan pecah koloni. Jika kurang dari itu jangan lakukan teknik ini. Pemecahan koloni dilakukan dengan membahagikan sel telur dan pekerja menjadi dua. Sel telur yang mengandungi calon telur ratu diletakkan di kotak baru bersama-sama pekerja manakala ratu asal dibiarkan dalam kotak lama bersama sebahagian pekerja. Kaedah ini akan memperlihatkan kejayaan atau kegagalan dalam tempoh 4-6 bulan berikutnya. Indikasi kejayaan dapat dilihat apabila kelulut mampu bertahan sekurang-kurangnya 5 bulan.

Perdebatan pro dan kontra

Bagaimanapun teknik ini mendapat perbincangan pro dan kontra terutama sekali oleh penternak baru dan lama. Tidak dinafikan ada yang berjaya menggandakan koloni dengan kaedah ini tetapi dengan peratus kegagalan yang tinggi. Penternak yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini menyaksikan bahawa pemecahan koloni hanya akan menyebabkan koloni lemah dan akhirnya pupus.

Calon telur ratu dilaporkan menetas lebih lama berbanding telur biasa menyebabkan kepupusan koloni apabila pekerja yang ada mati satu per satu mengikut usia masing-masing. Manakala ratu pada kotak asal menghadapi masalah jurang ketiadaan pekerja yang ramai akibat pemecahan koloni. Hal ini menyebabkan koloni makin lemah dan berakhir dengan kepupusan atau ratu lari meninggalkan sarang bersama sisa pekerja yang ada.

Biasanya tempoh 3 bulan selepas pemecahan kejayaan atau kegagalan sudah dapat dilihat. Jika berjaya koloni akan terus bertambah dan berkembang sihat tetapi jika gagal dapat dikesan dengan pengecilan corong masuk dan kematian pekerja. Kelulut yang masih sihat akan mengheret keluar kelulut yang sudah mati.

Tidak hairanlah bagi otai kelulut berpendapat lebih baik mempunyai 1 koloni yang kuat daripada mempunyai 2 koloni yang lemah.

Cadangan alternatif

Kaedah yang lebih selamat dan kurang risiko koloni jadi lemah dan pupus
1. Teknik perangkap kerumunan
2. Teknik eduksi
3. Sistem 3 tingkat
Di kesempatan yang lain kita akan membincangkan topik ini pula.

Kepada rakan-rakan yang mahu mencuba teknik  pecah koloni dinasihatkan berguru kepada mereka yang sudah pernah mencubanya. Jangan berlaku zalim kepada kelulut dengan melakukan pemecahan tanpa ilmu yang cukup. Ruangan ini sekadar teori dan perkongsian maklumat untuk rakan yang bertanya teknik ini.

Sebarang pertukaran pendapat dan pengalaman dari sahabat yang lain sangat dialu-alukan..

No comments:

Post a Comment